|
Laman utama Dadah Kemudahan
ROKOK ADALAH SEJENIS DADAH

ROKOK SEJENIS DADAH Dipetik dari web : Pusat Racun Negara, USM
Merokok
sememangnya satu tabiat yang digemari ramai. Walaupun perbuatan ini
membahayakan kesihatan namun masih ramai yang terus merokok. Merokok
boleh menyebabkan seseorang itu ketagihan sama seperti dadah. Keadaan
ini mungkin mengejutkan kerana kita mempercayai bahawa tembakau tidak
mengandungi 'dadah'. Kenyataan ini tidak lagi benar. Walaupun di sisi
undang-undang tembakau dalam rokok bebas digunakan, namun kita tidak
dapat lari daripada hakikat yang sebenarnya.
Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenalpasti bahawa dadah nikotin
merupakan bahan utama dalam tembakau yang boleh menyebabkan ketagihan.
Dalam daun tembakau, terdapat satu hingga tiga peratus nikotin.
Nikotin
ialah sejenis dadah haram. Menteri Kesihatan pernah menyatakan bahawa
tabiat merokok adalah satu punca yang menyebabkan penagihan dadah. Ini
selaras dengan kajian yang telah dilakukan oleh agensi Pasukan Petugas
Anti-Dadah, yang mendapati lebih 90 peratus penagih dadah yang
menjalani pemulihan terdiri daripada perokok. Keadaan ini tidak
memeranjatkan, memandangkan perokok akan ketagihan dan cuba untuk
mendapatkan bekalan dadah nikotin melalui rokok. Keadaan ini seterusnya
akan menjadi satu tabiat hidup mereka.
Tabiat ketagihan yang
dihasilkan oleh nikotin adalah sama walaupun jenis dadah yang terlibat
agak berbeza. Kesan ketagihan ini mendorong seseorang terus menghisap
rokok dan sukar untuk meninggalkannya seperti yang dialami oleh penagih
dadah heroin dan ganja. Ketagihan didapati tidak berlaku apabila
nikotin 'dikeluarkan' daripada rokok.
KETAGIHAN NIKOTIN
Dadah
jenis nikotin yang memberi rasa 'umph' pada rokok. Dalam sebatang rokok
terdapat 0.5 hingga 2.0 mg nikotin dan ini bergantung kepada cara ia
diproses. Nikotin boleh menyebabkan ketagihan lebih berbanding dengan
alkohol (arak) atau dadah kokain. Nikotin juga turut mempengaruhi
perilaku seseorang sehingga merosakkan individu dan masyarakat dari
segi kesihatan atau sebaliknya. Tambahan pula merokok atau penggunaan
tembakau menepati beberapa ciri pergantungan.
Ciri-ciri ini
juga dapat diperhatikan pada penagihan dadah yang lain seperti heroin,
alkohol dan kokain. Misalnya, selepas tabiat merokok bermula, berlaku
peningkatan penggunaan rokok tahun demi tahun. Pola ini juga terdapat
pada ketagihan heroin. Mengikut satu kajian, dalam masa tiga bulan 70
peratus daripada mereka yang berhenti akan ketagihan semula. Keadaan
ini juga sama dengan penagihan heroin atau alkohol. Laporan daripada
Centres for Disease Control and Prevention di Amerika Syarikat pada
tahun 1994, mendapati lebih kurang 70 peratus daripada penduduk negara
itu berhasrat untuk berhenti merokok manakala satu pertiga cuba untuk
berhenti setiap tahun. Namun hanya 2.5 peratus sahaja daripada perokok
yang berjaya menghentikan tabiat tersebut. International Union Against
Cancer pula melaporkan bahawa paling kurang 30 peratus yang berhenti
merokok telah mengulangi tabiat merokok mereka. Kegagalan ini berlaku
disebabkan pergantungan kepada dadah nikotin.
KESAN DAN TINDAKAN NIKOTIN
Sebagai
satu bahan dadah psikoaktif, nikotin mudah berkumpul dan bertindak di
tisu-tisu saraf dan otak berbanding dengan dadah yang lain. Tindakannya
menyerupai asetilkolin, iaitu sejenis biokimia semulajadi dalam badan.
Tindakan nikotin adalah lebih khusus pada otot, kelenjar dan sistem
saraf. Oleh itu ia berupaya membebaskan beberapa bahan kimia semulajadi
yang lain untuk mempengaruhi fungsi otak, merencat tapak-tapak khas
(reseptor) di badan, khasnya sistem saraf autonomik yang mengawal kadar
jantung, tekanan darah, dan otak. Keadaan ini berlaku dalam beberapa
saat sahaja. Kesan secara umum ialah tindakannya ke atas otak iaitu
rasa khayal dan 'ringan' pada permulaan rangsangan otak. Kesan pada
otak boleh menyebabkan seseorang mengalami tolerans, iaitu penyesuaian
badan terhadap kesan-kesan seperti mual, muntah-muntah, atau kepeningan
yang sering dirasakan apabila mula-mula merokok. Keadaan tolerans
inilah yang seterusnya mendorong kepada kesan ketagihan atau
pergantungan kepada nikotin.
Umumnya nikotin tidak menyebabkan
barah, tetapi dalam proses merokok, perubahan kimia boleh berlaku dan
menyebabkan bahan ini menjadi karsinogenik. Akibat rangsangan otak,
kesan nikotin pada saluran darah dan jantung menjadi ketara. Apabila
terlalu banyak merokok, nikotin akan menekan kadar jantung dan tekanan
darah, berlakunya kurang selera makan dan penurunan berat badan yang
ketara berbanding dengan mereka yang tidak merokok. Keadaan ini
berkaitan dengan pengaruh nikotin ke atas hormon-hormon tubuh.
Seseorang
akan menghadapi kesan-kesan yang berbeza bergantung kepada cara
menghisap rokok yang juga berbeza-beza. Ia bergantung kepada cara
seseorang itu menyedut dan kadar kekerapan sedutannya. Tambahan pula
setiap rokok mempunyai kandungan nikotinnya tersendiri. Amalan merokok
berterusan akan memberi kesan kepada tisu-tisu lain menyebabkan
penyakit bronkitis (radang dalam saluran pernafasan), penyakit jantung
dan penyakit saluran darah.
KESAN KERACUNAN NIKOTIN
Kes
keracunan nikotin menunjukkan kesan yang teruk. Ia bermula dari mual
dan muntah-muntah, sakit di bahagian perut, cirit-birit, pening-pening,
gangguan pendengaran dan penglihatan, kekeliruan mental, lemah-lemah
otot, perubahan kadar pernafasan dan tekanan darah. Keadaan ini jika
tidak diawasi akan membawa maut. Situasi ini juga boleh berlaku kepada
penanam tembakau. Mereka boleh dihidapi penyakit 'tembakau-hijau'
kerana sering terdedah kepada embun yang mengandungi nikotin pada daun
tembakau. Resapan embun melalui kulit boleh menyebabkan rasa mual,
pucat, lemah-lemah, kepeningan, sakit kepala dan pepeluhan. Kadangkala
mereka akan merasa sakit di bahagian perut, kesejukan, dan air liur
yang meleleh. Keadaan yang lebih teruk boleh berlaku seperti sawan,
tekanan darah rendah dan pernafasan tertekan. Ini akan menjadi lebih
dahsyat sekiranya melibatkan racun makhluk perosak yang bercampur
nikotin.
MEROKOK….
HARAM ATAU MAKRUH

Pada
satu ketika. pemerintah
kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat
kuat
memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang
bunuh bagi
penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara.
Adapun
dari sudut hukumnya ; sebagai asasnya, para ulama berbeza pandangan
dalam menentukan hukumannya berdasarkan berbezanya tanggapan
masing-masing
terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil dari rokok. Hakikatnya,
dalam hal
ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada "ahl az-zikr" dalam
halnya, "ahli az-zikr" dalam hal rokok adalah doktor perubatan
(selain ulama) yang mampu mengenalpasti impak buruk dari rokok kepada
tubuh dan
kehidupan. Maka sebarang fatwa ulama yang tidak dibuat berlandaskan
maklumat
lengkap dari para doctor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat
dan
tidak sepatutnya dijadikan pegangan.
Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada 2 kumpulan dalam hukum rokok.
Ia
seperti berikut :-
1) HARAM :
Ia adalah ijtihad oleh majoriti ulama kontemporari termasuk Dar Al-Ifta
Mesir,
Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, seluruh ahli persidangan
Mencegah rokok
( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof Al-Qaradawi,
Syeikh
Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir
Syeikh
Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979
; Fatawa
Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi
dan Fiqh
As-Sunnah)
Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh muhd alauddin
haskafi
al-hanafi, syeikh sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa
ar-Rihbani,
Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar'ir
fi
at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, hlm
25-26)
Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang
menyebut
terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti
darah dan
bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun ( seperti nikotin,
tar,
alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain ) yang
terkandung di
dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq
al-Burhan,
hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm
34-35 )
Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan
buruk rokok
terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika
mengeluarkan
satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar
yang
menyebut "Merokok
memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut
"rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh "(
Rujuk Mahmud
Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346 )
Maka
dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk
kepada
ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT
" Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman" (
Al-Furqaan : 59 ) ;
Oleh kerana itu, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh
diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.
Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan
hubungan
kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak
dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya
" Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat" ( Riwayat Malik,
1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di
atas
syarat Muslim kata az-zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang
menguatkan
satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)
Hadith
lain pula menyebut :
" Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang
putih
maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang
busuk) itu
menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia" ( Riwayat
Al-Bukhari,
KItab al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no
876 )
2) HARUS MENGIKUT KEADAAN
Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd
Amin Ibn
‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara
terperinci
menurut keadaan ), Syeikh Hasan Makmun.
Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat
adalah halal
dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka
adalah
lemah kerana ia bersandarkan pandangan mereka tanpa maklumat berkenaan
keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka
memberikan fatwa
hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan mengganggu, ketika itu,
sudah
tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram.
Jelaslah
pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan.
Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah
Haram
merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh
sendiri, orang
lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam
menyebut :
"Ad-Darar Yudfa' Bi Qadaril Imkan" ;
Ertinya : "Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan"
(Al-Madkhal Al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)
Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667)
menjelaskan
hukumnya berkata ( dengan sedikit ubahsuai olahan ) :-
a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat
rokoknya,
bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur
setakat
yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada
orang
lain.
b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina,
mencuri dan
lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi
Shariah, ada
yang dikira dosa besar dan ada yang kecil.
Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil.
Bagaimanapun
perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi
besar
apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan
Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi MEREKA yang belum
merokok,
dan makruh(dibenci Allah) bagi sesiapa yang telah terjebak sehingga
sukar untuk
keluar darinya dan masih berusaha. Apa yang pasti, segala jenis usaha
bagi
memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera. Wallahu a'lam.
ROKOK
ADA SEL DARAH BABI
ROKOK
bukan sahaja berbahaya tetapi
kini timbul isu kandungan darah babi di dalamnya.
KUALA
LUMPUR - Seorang pakar
akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di
Belanda
baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai
kandungan
penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.
Profesor
Simon Chapman dari
Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi
digunakan dalam
185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam
penapis
(filter) rokok.
Kenyataan
beliau yang disiarkan oleh
akhbar Daily Telegraph kelmarin menjelaskan, hasil kajian tersebut
pastinya
mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan
memakan
babi.
Menurutnya,
setakat ini satu jenama
rokok yang dijual di Greece telah didapati mengandungi darah babi.
|